HULU SELANGOR – Parti Rakyat Malaysia (PRM) tidak pernah serik untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya meskipun terpaksa berdepan kekalahan hingga berdepan risiko kehilangan wang deposit.
Presidennya, Ahmad Jufliz Faizal berkata, keputusan menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu adalah untuk memastikan parti itu kekal relevan dalam landskap politik tanah air.
“Satu pentingnya kita sebagai sebuah parti politik, sudah tentu kita kena tunjukkan bahawa kita masih dalam radar politik.
“Kalau tak hilang deposit pun satu kejayaan besar buat kami dan ia menjadi pencetus bahawa PRM masih lagi relevan dan diterima rakyat.
“Kita sedar PRM tidak pernah menang, namun sasaran kita kena realistik,” katanya pada sidang media, di bilik gerakan PRM di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melancarkan Manifesto PRM Selamatkan, Rakyat, Agama dan Tanahair.
Dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di Selangor pada Ogos tahun lalu, PRM mempertaruhkan calonnya, Chng Boon Lai dalam pertandingan empat penjuru, menentang Lee Kee Hiong (PH), Teoh Kien Hong (PN) dan Dr Siva Prakash (Muda), namun hilang deposit selepas hanya memperoleh 527 undi.
PRM ditubuhkan pada 1955, antara parti terawal ditubuhkan di negara ini. Pengasasnya adalah Ahmad Boestamam.
Ahmad Jufliz tidak menolak kemungkinan calonnya, Hafizah Zainuddin mampu membuat kejutan kerana lawannya daripada Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) tidak menjuarai isu ekonomi rakyat.
“Kita nampak PN dan PH mainkan isu-isu negara dan negeri. Kalau tengok pilihan raya lepas, yang menang kerana isu agama, satu tuduh PN penunggang agama dan UMNO pula dituduh ditunggang DAP.
“Siapa kena tunggang atau tonggeng, ini masalah rakyat, isu ekonomi, siapa jadi pemerintah macam mana nak agihkan ekonomi, nak agih secara betul, itu realitinya,” katanya.
Menerusi pelancaran manifestonya hari ini, PRM menggariskan enam sasaran utama antaranya menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan tanpa riba bagi warga Kuala Kubu Bharu terutama berkaitan industri kecil dan sederhana.
PRM juga mahu mewujudkan koperasi komuniti di setiap taman dan kampung; menubuhkan hab teknologi tumbuhan herba; menggalakkan penduduk terbabit eko-pelancongan; mewujudkan pusat khidmat terkesan Covid-19 dan meningkatkan kemudahan infrastruktur serta meningkatkan peruntukan kebajikan kepada golongan memerlukan. – MalaysiaGazette