R. Ramanan berucap pada sidang media berkenaan program Ramah Mesra Bersama Komuniti India DUN Kkb, di Dewan Serbaguna Kerling, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 2 MEI 2024

HULU SELANGOR – Tidak timbul soal sabotaj mahupun merajuk dalam kalangan Kerajaan Perpaduan selepas beberapa calon yang disenarai pendek sebelum ini tidak terpilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi N.06 Kuala Kubu Bharu.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk R.Ramanan berkata, ketiga-tiga bekas calon itu bergilir-gilir turun padang berkempen untuk memenangkan calon tunggal Perpaduan, Pang Sock Tao.

“Tiada (sabotaj & merajuk), kalau tengok dalam Kerajaan Perpaduan, memang ada perpaduan.

“Kalau kita tengok ada yang sepatutnya menjadi calon, tak jadi calon, dia pun turun kempen.

“Kita Kerajaan Perpaduan ada senarai pendek, tiga atau empat calon dan mereka semuanya turun kempen, saling membantu antara satu sama lain.

“Sebab kita ada semangat kekeluargaan, Itu tidak menimbulkan apa-apa faktor atau masalah,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ramanan menafikan dakwaan kononnya komuniti India di Kuala Kubu Bharu dipinggirkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, mendiang Lee Kee Hiong.

“Dakwaan komuniti India di sini tidak dijaga, dipinggirkan itu tipu, fitnah.

“Kalau ditanya adakah komuniti India dijaga dengan baik, itu mustahil, kita bukan tuhan, kita baru jadi kerajaan satu tahun lebih.

“Apa yang kita buat tak boleh jadi ajaib. Beri kami masa dan mandat telah diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast