Nourul Depp tampil dengan program kedua, Firetalk 2024 yang berlangsung 2 Jun depan.

KUALA LUMPUR – Firetalk By Nourul iaitu sebuah program yang dianjurkan oleh seorang penyanyi, Nourul Depp kini telah terbukti menjadi satu platform yang berkesan untuk memberi ruang dan peluang untuk menyelami potensi diri, bakat, mengubah nilai diri dan juga transformasi kendiri dan pembangunan peribadi yang positif.

Program seminar pembangunan diri yang pertama telah dianjurkan oleh Nourul itu bersama pasukannya ini telah mendapat tempat di hati dalam kalangan 100 orang para peserta dari pelbagai latar belakang dan bangsa terutamanya dari Malaysia, Singapura dan Indonesia pada tahun lalu.

Para peserta telah melalui satu transformasi dan peningkatan diri yang hebat dan positif.

Melihat kepada sokongan padu dan positif daripada para peserta, penyanyi lagu Kerana Terluka itu yang merupakan pengasas dan penceramah bagi seminar pembangunan diri program itu mengumumkan Firetalk 2024 bakal kembali berlangsung pada 2 Jun ini.

“Ini berikutan di atas permintaan ramai yang memberikan maklumbalas dan sokongan positif dan kepercayaan yang tulus kepada pihak penganjur, Firetalk 2024 bakal kembali beraksi dan mengegarkan pentas dengan pengisian program yang lebih fokus kepada pembinaan potensi dan bakat diri dengan menyuntik motivasi menerusi cara mengatasi pelbagai cabaran hidup semasa, kesan akibat trauma dan isu yang berkaitan dengan kesihatan mental.

“Kami amat komited meneruskan misi ini untuk membantu sesiapa sahaja agar individu-individu ini dapat menjalani kehidupan yang lebih baik melalui pembangunan peribadi.

“Kami berharap program ini dapat mencapai lebih ramai peserta yang mana mereka dapat mempelajari beberapa teknik yang dapat membantu mereka untuk membuat keputusan yang lebih baik dan membuat perubahan yang lebih bermakna dalam pelbagai aspek kehidupan,” kata ibu kepada empat anak itu.

Menurut Nourul, dia  telah lama memerhati yang ramai di kalangan rakyat sedang bergelut dengan kesukaran dalam menjaga sikap positif dalam kehidupan harian mereka, bahkan beliau percaya kesihatan mental adalah permulaan untuk segala aspek dalam kehidupan.

Nourul kini menetap di Bali, Indonesia bersama keluarga.

Mengambil inspirasi daripada jurulatih kehidupan terkenal Tony Robbins, Nourul telah memulakan perjalanannya yang baru untuk menjalani latihan sebagai seorang jurulatih kehidupan.

Wanita berusia 47 tahun itu juga telah menjalani sesi latihan untuk mendapat kelayakan tersebut di Robbins-Madanes Training di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Saya benar-benar teruja untuk bertemu dengan para peserta Firetalk kali ini dalam skala yang lebih besar. Ini bukan hanya program sekali sahaja tetapi ia telah menjadi satu acara tahunan dengan perisian silibus yang komprehensif dalam memberi tumpuan kepada pembangunan peribadi.

“Bukan itu sahaja, Saya akan meraikan peserta dengan persembahan nyanyian selama 45 minit di akhir program ini. Belum pernah lagi acara sebegini diadakan, malah para peserta boleh menikmati pengalaman luar biasa ini,” katanya.

Sementara itu, Firetalk By Nourul akan berlangsung pada 2 Jun ini yang bertempat di Hotel Concorde, Kuala Lumpur bermula 9.00 pagi sehingga 7.00 malam.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga RM594 seorang bagi Pakej VIP termasuk makan tengah hari bersama Nourul, RM378 seorang (Pakej Gold) dan RM270 seorang bagi Pakej Silver).

Tempahan tiket boles di dapati dengan menghubungi Ina Mohd. di talian +6017-9353909 atau secara online di Firetak 2024 di mana harga tiket, termasuk peratus SST, akan dinaikkan bermula 10 Mei ini. – MalaysiaGazette