Foto Instagram Akhyar Rashid.

KUALA LUMPUR – Pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid akhirnya tampilĀ  mengucapkan terima kasih kepada pihaknya mendoakan kesihatannya selepas dua hari berdiam diri mengenai detik hitam yang menimpa dirinya.

“Assalamualaikum. Pertama sekali terima kasih kepada yang mendoakan kesihatan saya. Alhamdulillah semua baik. Semoga kita di bawah lindungan dan rahmat Allah. Amin.

“Semoga pelakunya diberikan petunjuk dan hidayah oleh-NYA,” tulis Akhyar di laman Insta Story hari ini.

Kelmarin, peminat bola sepak tanah air digemparkan dengan kejadian malang menimpa pemain berusia 25 tahun itu yang cedera dipukul dengan sebatang besi boleh laras oleh dua lelaki dalam kejadian bermotifkan samun di Kuala Terengganu, Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, Akhyar cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri ketika dia baru tiba di kawasan kediamannya selepas selesai sesi latihan bola sepak di stadium di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Kejadian itu menyebabkan Akhyar mengalami pendarahan di ubun-ubun selepas terdapatĀ  kecederaan kira-kira empat sentimeter sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.

Pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) tersebut terpaksa menerima empat jahitan di bahagian ubun kepala serta dua jahitan di bahagian kaki kiri selain mengalami bengkak di lengan kiri. – MalaysiaGazette