Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan untuk mengadakan lawatan negara ke Singapura selama dua hari bermula esok.

Kementerian Luar Negeri berkata, lawatan baginda berdua atas jemputan Tharman Shanmugaratnam, Presiden Singapura.

Lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sejak menaiki takhta pada 31 Januari 2024.

Keberangkatan baginda akan diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Semasa lawatan negara ini, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan menerima sambutan negara di Istana, Singapura, diikuti dengan pertemuan bersama Tharman Shanmugaratnam serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Singapura.

Sultan Ibrahim turut dijadualkan menerima menghadap Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura, dan timbalannya, Lawrence Wong

Yang di-Pertuan Agong juga telah berkenan untuk mengadakan lawatan ke Parlimen Singapura serta melihat perkembangan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.

Kementerian Luar Negeri berkata, lawatan negara ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala yang dinamik antara Malaysia dan Singapura serta mempamerkan komitmen kedua-dua negara untuk mengerat dan mempelbagaikan jalinan kerjasama.

Malaysia dan Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain sejak lebih sedekad yang lalu, dan yang terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Pada tahun 2023, jumlah dagangan kedua-dua negara adalah sebanyak RM363.13 bilion (AS$79.60 bilion). – MalaysiaGazette