Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat dalam julat 1,575 hingga 1,600 minggu depan, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI meneruskan aliran meningkatnya minggu lepas, disokong oleh minat belian dalam saham wajaran tinggi.

“Walaupun kami menjangka tiada kenaikan untuk sementara waktu susulan kenaikan yang kukuh baru-baru ini, indeks telah mengekalkan kedudukannya melebihi semua purata pergerakan eksponen (EMA).

“Dengan trajektori meningkat EMA 20 hari, ini menunjukkan indeks petunjuk pasaran masih berada dalam fasa konsolidasi dengan kecenderungan positif,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan serta Pengurus Portfolio Bertauliah di UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata prestasi Apple dan Qualcomm yang meningkat di Wall Street baru-baru ini, dengan pelaburan terbesar Microsoft di Malaysia, dijangka mengukuhkan sektor teknologi di bursa tempatan.

Berdasarkan momentum ini, katanya Indeks FBMKLCI dijangka berada antara 1,570 dan 1,620 pada minggu akan datang.

“Belian oleh institusi tempatan telah memberikan sokongan yang kukuh, dengan sokongan ketara dilihat pada sekitar paras 1,560. Halangan psikologi pada 1,500 kekal sebagai paras sokongan yang penting.

“Pada aliran meningkat, paras halangan dijangka pada sekitar paras 1,600, dengan cabaran tambahan dijangka pada paras ambang 1,620,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI naik 14.43 mata kepada 1,589.59 daripada 1,575.16 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 143.32 mata kepada 11,970.11, Indeks FBM 70 naik 320.24 mata kepada 16,737.02, Indeks FBMT 100 menambah 135.67 mata kepada 11,597.12, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 201.35 mata kepada 12,193.30 dan Indeks FBM ACE naik 72.54 mata kepada 5,134.55.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 16.52 mata kepada 7,419.87, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 3.51 mata kepada 190.84, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 13.4 mata kepada 17,290.41 dan Indeks Tenaga berkurangan 10.57 mata kepada 966.85.

Pada minggu dagangan yang singkat berikutan cuti umum, jumlah dagangan merosot kepada 16.10 bilion unit bernilai RM13.43 bilion daripada 19.55 bilion unit bernilai RM14.43 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 9.79 bilion saham bernilai RM12.02 bilion daripada 11.43 bilion saham bernilai RM12.71 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 4.17 bilion unit bernilai RM606.55 juta daripada 5.16 bilion unit bernilai RM702.34 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 2.14 bilion saham bernilai RM809.18 juta daripada 2.93 bilion saham bernilai RM1.02 bilion sebelum ini. – BERNAMA