Pang Sock Tao calon Kerajaan Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu ketika majlis pengumuman calon PRK Kuala Kubu Baharu di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Foto SYADILA AMARI, 24 APRIL 2024.

HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao menafikan beliau melarikan diri daripada Jaringan Rawang Tolak Insinerator Rawang.

Sock Toa berkata, dakwaan yang dilemparkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) itu tidak benar kerana beliau mempunyai jadual yang telah disusun dan padat.

“Itu dakwaan yang tidak betul sebab jadual saya sangat padat dari 6 pagi hingga 10 malam saya kena ikut sebab program telah ditetap dan dilaksanakan. Saya kena hadir di program-program yang telah ditetapkan,” katanya.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan, penyelaras NGO tersebut Liow Yeong Lih mendakwa dia cuba untuk bertemu Sock Tao pada sebelah pagi namun calon PH itu melarikan diri.

Pada sebelah petang Yeong Lih Bersama kumpulannya turut berada di kawasan sama dengan Sock Toa namun sekali lagi tidak diendahkan.

Kumpulan itu mahu melontarkan dua persoalan kepada Sock Toa mengenai pengubalan undang-undang bagi pengasingan sampah di Selangor dan adakah dia menyokong pembinaan insinerator di Rawang.

Sementara itu Sock Toa meminta kepada kumpulan itu untuk memberikannya masa untuk menjawab isu tersebut.

“Sebagai jurutera saya kena memandang isu ini daripada pelbagai pihak dan pandangan. Tidak bertanggungjawab kepada saya untuk memberi ulasan jika saya tidak tahu,” katanya ketika ditemui semasa menjalankan kempen di Jalan Air Panas, Kerling di sini hari in.

Mengenai kempen pilihan raya, beliau berkata, akan menemui seberapa banyak pengundi daripada pelbagai komuniti dalam tempoh yang berbaki kurang enam hari lagi sebelum pilihan raya pada 11 Mei.

Beliau menyedari masih terdapat pengundi yang berada ‘di atas pagar’ dan belum membuat sebarang keputusan untuk memilih calon yang bertanding.

Sock Toa berkata, ada kebimbangan mengenai pengundi yang berada di atas pagar namun beliau mempunyai pasukan Kerajaan Perpaduan untuk mendekati kumpulan tersebut.

“Memang sudah tentu ada pengundi atas pagar sebab itu adalah penting untuk calon menyampaikan mesej utama mengenai pembangunan yang hendak dibawa ke Kawasan Kuala Kubu Baharu, rancangan yang akan diadakan dan inisiatif untuk golongan muda dan wanita.

“Sebagai calon yang bertanggungjawab saya menghormati pilihan raya dan kempen yang dijalankan dan tidak akan berputus asa dan mengalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi reaksi salan seorang penyokong berketurunan India yang menyampaikan maklumat bahawa masih terdapat dalam kalangan kaum itu berada di atas pagar dan mereka perlu didekati sebelum pilihan raya berlangsung.- MalaysiaGazette