KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Jeslina Hashim akhirnya mengesahkan bakal kembali bergelar isteri.
Jeslina atau Nor Jeslina Hashim, 45, membuat pengumuman itu secara terbuka ketika berada dalam sebuah pesawat sambil diraikan oleh kru penerbangan.
Dalam perkongsian video di TikTok, Jeslina dilihat menggayakan busana kasual turut memakai veil putih sebelum seorang pramugara memperkenalkan dia kepada penumpang.
“Saya akan berkahwin,” katanya.
Penyanyi lagu Ku Intai Cinta Dalam Rahsia ini juga sempat berlakon seperti seorang pramugari apabila mempromosikan produk jualan syarikat penerbangan tersebut dengan berjalan melalui lorong penumpang.
Menjengah ke Instagram milik Jeslina, penyanyi tersebut turut memuat naik foto diraikan dalam bachelorette party (parti bujang) bersama teman rapatnya.
Sebelum ini, media melaporkan Jeslina bakal mendirikan rumah tangga dengan kerabat Diraja Negeri Sembilan iaitu Tunku Eddy Nasruan Adil selepas lapan tahun menjalinkan hubungan cinta.
Pada 1 November tahun lalu, Tunku Eddy memuat naik sebuah hantaran meluahkan rasa bahagia bersama Jeslina dan memberitahu tarikh ulang tahun perhubungan mereka bakal bertukar pada tahun ini.
Untuk rekod, Jeslina sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Dion Andrew Vercoe pada 21 April 2005, namun bercerai pada Mac 2013.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Micah, 16, dan Keira, 14 tahun.
Untuk info, Tunku Eddy merupakan cucunda kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tuanku Ja’afar dan Tunku Ampuan Najihah. – MalaysiaGazette