Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Minggu berakhir 3 Mei 2024 menyaksikan belian bersih yang lebih kukuh oleh pelabur asing, menyaksikan aliran masuk bersih melonjak 3.6 kali ganda daripada minggu sebelumnya kepada RM1.06 bilion apabila mereka membuat belian bersih setiap hari dalam tempoh seminggu.

Ia merupakan jumlah belian bersih mingguan paling kukuh dalam tempoh dua tahun, menurut MIDF Research.

Kali terakhir Malaysia menyaksikan aliran masuk yang begitu banyak adalah pada minggu berakhir 18 Mac 2022 pada jumlah RM1.18 bilion.

Pelabur asing bersih membeli RM451.8 juta pada hari Isnin, Selasa (RM184.3 juta), Khamis (RM43.0 juta) dan Jumaat (RM376.1 juta).

Rabu adalah cuti umum sempena Hari Buruh.

Sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi iaitu utiliti (RM443.7 juta), perkhidmatan kewangan (RM277.3 juta), dan telekomunikasi & Media (RM140.4 juta).

Manakala sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah tenaga (-RM22. 4 juta), perladangan (-RM16.9 juta), dan hartanah (-RM10.4 juta).

Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula menjual sebanyak RM943.1 juta selepas belian bersih selama sembilan minggu berturut-turut.

Pelabur institusi melakukan jualan setiap hari.

Sementara itu, peruncit tempatan mengekalkan rekod jualan bersih untuk minggu kelapan berturut-turut dengan berjumlah RM112.2 juta.

Dari segi penyertaan, purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan dalam kalangan semua kelas pelabur.

Pelabur asing mendahului dengan peningkatan sebanyak +22.0% manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan menyaksikan lonjakan sebanyak +16.7% dan +6.7%. – MalaysiaGazette