Pengerusi Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M, Datuk DJ Dave menziarahi keluarga selepas pemergian Allahyarham Datuk Hail Amir di Masjid Ukay Perdana, Gombak. Foto SYADILA AMARI, 06 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Pemergian penyanyi legenda tanah air era-70an, Datuk Hail Amir merupakan kehilangan besar buat industri seni tanah air.

Malah kehilangan penyanyi itu turut meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan rakan artis.

Rakan seperjuangan Allahyarham yang juga Presiden Pengerusi Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave berkata, Hail Amir merupakan seorang yang ceria, peramah selain tidak pernah memburukkan orang lain.

“Ya kita kehilangan seorang penghibur yang juga rakan karib saya. Kami selalu berhubung berkaitan hiburan, kalau sakit pun dia beritahu. Enam tahun lalu dia jatuh sakit, buat rawatan, Yayasan pun uruskan beliau masuk Institut Jantung Negara (IJN) buat rawtaan.

“Semalam saya ada melawat Allahyarham dan dia masih kenal saya. Saya tanya, Hail kenal saya? Dia kata kenal. Saya bercakap dengan dia, tapi suara dia lemah, tak berapa dengar tapi masih sempat berjenaka lagi.

“Kami berdua berbual tentang perjalanan seni dan Allahyarham masih ingat apa yang kami lalui sebagai anak seni dan kami berlumba kereta dahulu. Beliau hanya mengangguk.

“Tapi itulah Allahyarham seperti biasa seorang peramah, suka bergurau, memang orang baik dan pemergiannya satu kehilangan yang besar dalam dunia hiburan kita,” ujarnya dalam nada sebak.

Pengerusi Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk Dj Dave bercakap pada media berhubung pemergian penyanyi lagenda Allahyarham Datuk Hail Amir di Masjid Ukay Perdana, Gombak Selangor. Foto SYADILA AMARI, 06 MEI 2024.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Sementara itu, MalaysiaGazette difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana, Ampang, di sini, untuk disembahyangkan hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah berkata, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

“Penghibur yang sinomin dengan lagu, Wajah Kesayangan Hamba itu dilaporkan dimasukkan ke HKL pada Sabtu lalu selepas mengalami batuk berterusan.

“Seniman sedang mendapatkan maklumat terbaharu tentang pemergian Allahyarham,” katanya dalam kenyataan.

Hail Amir atau nama sebenar, Abdul Hail Amir pernah dimasukkan ke hospital pada 2018 selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan dalam wad akibat masalah jantung.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Hail, sinonim sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.

Lagu popular mereka seperti Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu raya, Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai hingga hari ini.

Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata ini terkenal di layar perak.

Antara filem popular lakonannya adalah Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.

Allahyarham dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara di ibu negara pada 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast