Setiausaha Agong Perikatan Nasional DatoSeri Hamzah Zainuddin dan calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut beramah mesra pada Majlis Perikatan Nasional Bersama Masyarakat India ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Batang Kali, Selangor. Foto AIZAT

BATANG KALI – Perikatan Nasional (PN) mendakwa masyarakat India di Kuala Kubu Baharu lebih terbuka untuk mengatakan hasrat untuk menyokong gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) disini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia hasil culaan dan tinjauan yang dibuat pemimpin dan jentera gabungan itu sehingga hari sembilan kempen semalam.

“Mereka sudah berani mengatakan untuk menyokong sesiapa dan berani mengutuk segala polisi kerajaan, kalau dulu mereka agak diam dan tidak mahu sebut tentang masalah dan polisi kerajaan.

“Ini melambangkan bahawa pengundi sudah ada majoriti yang berbeza dengan sebelum ini. Ini memberikan satu peluang untuk calon kita apabila kita melihat keikhlasan daripada pengundi bukan hanya duduk dan bincang dengan kita tapi memaklumkan masalah mereka.

“Mereka sedara terbuka memaklumkan masalah,” katanya kepada media selepas berkempen sempena majlis ramah mesra PN bersama masyarakat India di Batang Kali malam tadi.

Turut hadir adalah calon bagi PRK Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut.

Jelas Hamzah lagi, ia dikukuhkan lagi dengan keberadaan parti terbaharu berteraskan kaum India iaitu Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang berjanji untuk menarik pengundi India mengundi PN.

“Apabila kita ada satu parti MIPP ini dia berikan peluang kepada kita untuk mendengar keluhan dan rintihan kaum India.

“Saya bersyukur kepada MIPP telah memberikan satu lonjakan kepada minat kaum India kepada PN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette