Anwar Ibrahim tiba di Majlis Rumah Terbuka Jabatan Imigresen Ibu Pejabat Putrajaya ditemani Saifuddin Nasution dan Ruslin Jusoh tengah hari tadi.

PUTRAJAYA – Perdana menteri sekali lagi mengingatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) agar mengelakkan berlaku ketirisan dalam menjalankan tanggungjawab sebaliknya  melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalam ketirisan tidak boleh dibiarkan menguasai JIM sehingga menjejasakan usaha pembaharuan Kerajaan Madani.

“Kita berada dalam satu keluarga ke arah satu pembaharuan, marilah kita kerja secara bersama untuk menghentikan amalan-amalan yang tidak sesuai (jejas usaha pembaharuan) kepada Kerajaan Madani.

“Saya tahu, kita memang sedang berusaha bersama dengan keluarga JIM mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperbaiki segera segala kelemahan yang ada.

“Apabila saya cakap kita satu keluarga..pasukan, itu bukan hanya ditujukan kepada Jemaah Menteri dan mereka yang berpangkat tinggi ketua pengarah dan sebagainya tetapi juga melibatkan semua dalam kerajaan kerana kita semua sebahagian dalam pasukan ini,” katanya ketika menyampaikan amanat di Rumah Terbuka Aidilfitri 2024 di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di sini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Pengarah JIM Datuk Ruslin Jusoh.

Anwar berkata, amalan yang tidak baik dalam jabatan ini seperti masalah disiplin, rasuah, membocorkan  rahsia penguat kuasa hanya dibuat oleh sekelompok kecil sehingga menyebabkan imej JIM tercalar

Bagaimanapun, kata Anwar menjadi tanggungjawab bersama JIM untuk memperbetulkannya dengan segera.

“Saya nak bagitahu bahawa kita cuba bersihkan dan selamatkan negara kita dan harap sekelompok kecil itu jangan  tersinggung nanti dengan pembaharuan Madani.

“Jika rujuk sedikit episod di Terminal 1 KLIA tahun lalu ada sedikit keresahan dan terguris perasaan warga JIM dan saya jelaskan bahawa masalah kakitangan yang melakukan kesilapan tidak harus diwakili seluruh jabatan.

“PM cakap soal reform, pelancong meningkat tapi datang ke KLIA tunggu 2 jam, jadi saya ambil cabaran, apakah benar ada kelompok kecil sebabkan imej tercalar..ya.. apakah ada rasuah segelintir..ya.,masalah disiplin..ya, amalan sesetengah orang sebelum ini serbu kawasan diberitahu awal, ada pernah berlaku.. ya. jadi tanggungjawab kita adalah amanah, harus diperbetulkan.

‘Jika kita menjalankan tanggungjawab dengan baik tidak harus tergores hati dan betulkan kesilapan itu. Saya yakin JIM sedang usahakan yang terbaik,” ujar Anwar. – MalaysiaGazette