Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap pada Sidang Media berkenaan Majlis Ramah Mesra Perikatan Nasional Bersama Masyarakat India, Hulu Selangor. Foto AIZAT

BATANG KALI – Belum ada apa-apa kenyataan daripada Pas.

Itu penjelasan naib presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai pendirian Pas berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

“Saya rasa tidak ada (belum ada kenyataan). Saya tidak pasti sebab dalam mesyuarat yang lepas (sebab) saya tidak hadir.

“Setakat ini lepas mesyuarat berkenaan tidak ada apa-apa kenyataan lagi,” katanya kepada media ketika ditanya samada parti itu akan membuat apa-apa kenyataan mengenai siasatan terhadap Mohd Shukri.

Pada Rabu lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Mohd Shukri memberi keterangan selama lapan jam mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan dakwaan salah guna kuasa.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis dipanggil memberi keterangan membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana, termasuk membaik pulih, menyenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Media sebelum ini melaporkan anak kepada Menteri Besar Perlis itu antara enam individu direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan bernilai RM600,000.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan turut turun berkempen calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut pada Ceramah Mega PN Khamis depan.

“Saya difahamkan Tan Sri Abdul Hadi Awang akan turun pada 9 Mei untuk berkempen. Hari kedua terakhir dan semua kepimpinan sudah mengatakan tarikh masing-masing untuk turun daripada awal penamaan calon sampai saat-saat akhir,” katanya lagi.

Ia sekaligus menepis dakwaan kepimpinan Pas memboikot kempen calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mewakili PN. – MalaysiaGazette