Majlis Perasmian Pembukaan International Conference on Contemporary Education in Islamic World (ICCEIW) berlangsung di Kuantan, hari ini

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang masih membuat perbincangan lanjut berhubung status lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perbincangan mengenainya kini pada tahap pre-kaunsel dan akan mendengar padangan ahli dewan dan Kerajaan Perpaduan.

”Nama sudah diterima, senarai nama pendek sudah ada dan perkara tersebut akan dibuat keputusan,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui Majlis Perasmian Pembukaan International Conference on Contemporary Education in Islamic World (ICCEIW) di sini malam tadi.

Terdahulu Pada 20 November 2020, DUN Pahang telah meluluskan meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima ADUN tanpa melalui proses pilihan raya.

Ia susulan Wan Rosdy mengusulkan pindaan terhadap Perkara 18 Bahagian Kedua undang-undang itu dibuat bagi membolehkan lantikan lima ADUN daripada golongan berkaliber bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berharap Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri Pahang yang mula bersidang hari ini berjalan lancar.

Menurutnya, Istiadat Pembukaan Dewan dan Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 yang berlansung pada esok di Dewan Negeri Pahang akan disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pukul 8.30 pagi.

”Alhamdulillah setakat ini saya dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin bahawa persiapan rapi telah dibuat dan esok (hari ini)  Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang akan merasmikannya.

”Saya berharap sidang dewan akan berjalan dengan lancar dan ahli dewan dapat berdebat dengan baik, tatatertib kerana selama inilah amalan kita di Pahang,” katanya.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari turut dihadiri oleh 22 negara daripada wakil Rabitah al-Jamiah al-Islamiyyah dan 49 pembentang itu julung kali diadakan di negeri ini. – MalaysiaGazette