Keadaan kereta dipandu seorang wanita warga emas yang maut selepas kenderaannya hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Malim Jaya, Melaka, awal pagi tadi.

MELAKA – Seorang wanita warga emas maut selepas kenderaan dipandu hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Malim Jaya, di sini awal pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira pukul 1.15 pagi itu, mangsa berusia 62 tahun maut di tempat kejadian apabila kereta Proton Iriz dipandunya terbabas ke bahu jalan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Malim menghala ke Bukit Katil.

“Sebaik tiba dilokasi nahas, kereta mangsa yang dipandu di jalan lurus dipercayai telah terbabas ke arah kiri jalan menyebabkannya maut di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian manakala kenderaan terlibat dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk tindakan lanjut.

“Polis polis sedang mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette