Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap kepada media selepas Ceramah Perdana Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ketika di Taman Ampang Pecah, Hulu Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Pas telah memberikan arahan kepada semua ahlinya yang mengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Sabtu ini.

Bercakap dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, adalah haram bagi mana-mana ahli Pas di kawasan itu yang tidak turun mengundi.

“Saya menyeru terutamanya rakan saya dari Pas, haram bagi ahli Pas jika tidak keluar mengundi di Kuala Kubu Baharu.

“Bukan satu fatwa ini, penegasan kita, kalau  Tok Guru  (Tan Sri Abdul Hadi Awang) sebut (mengundi itu) fardu ain samalah itu dengan haram.

“Kalau kita tak buat (untuk kita keluar mengundi) pastikan kita, keluarga kita, rakan kita, jiran kita mengundi calon Khairul Azhari Saut,” katanya dalam ceramah perdana bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Taman Ampang Pecah, Kuala Kubu Baharu, malam tadi.

Hadir dalam ceramah sama adalah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Turut kelihatan adalah Ketua Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun.

Tambah Takiyuddin, ia adalah arahan yang dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan arahan itu jelas termaktub dalam Pelembagaan Pas.

“Tidak (ada salah faham) sebab dalam Pelembagaan Pas sendiri ada arahan dariapda parti adalah satu yang perlu dipatuhi.

“Tidak mematuhi satu arahan itu boleh dikenakan tindakan displin.

“Jelas dalam Pelembagaan pas. Arahan dan peraturan yang dibuat perlu dipatuhi,” katanya lagi.

Ditanya adakah arahan itu boleh disifatkan sebagai fatwa oleh Abdul Hadi, Takiyuddin berkata, ia terpulang kepada interpretasi mana-mana pihak.

“Itu terpulang, sebab perkataan haram, judi haram pun ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. tuuu sebab parti ajaran sesat perlu diharamkan! menyeleweng! Ada ke dlm Al Quran? bodohnya tahap Gaban! dah jadi rukun Pas! fitnah Dan fatwa haram berpisah tiada! pi lahhh bukan semua melayu boleh ko bodohkan! DAP ko tetap dihati KERJA keras mu mmg terbukti! ckplah apa pun, DAP mengotakan janji, DAP jd pilihan dihati!

Comments are closed.