Calon bebas, Nyau Ke Xin

KUALA KUBU BAHARU – Kelibat calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Nyau Ke Xin tidak dilihat semasa proses undian awal hari ini terjawab.

Ke Xin yang merupakan satu-satunya calon bebas di PRK kali ini memberikan alasan tidak sempat untuk meninjau proses undian awal di dua pusat mengundi awal, hari ini.

“Tak la (turun tinjau undi awal), tak sempat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Proses undi awal yang berlangsung hari ini hanya dipantau dua calon PRK Kuala Kubu Baharu iaitu Pang Sock Tau dari Pakatan Harapan (PH) dan Khairul Azhari Saut daripada Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin pula  akan turun ke Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia pukul 4.45 petang.

“Kami dalam perjalanan ke Dewan Serbaguna Maktab PDRM.. sampai dalam pukul 4.35 petang,” respon pasukan beliau dalam kumpulan aplikasi WhatsApp.

Mereka mempunyai urusan dan temujanji dengan media serta berkempen sebagai punca kelewatan.

Untuk rekod, semua calon yang bertanding boleh turun ke pusat pengundian bagi meninjau proses pengundian yang dibuka  8 pagi tadi dan akan ditutup 5 petang.

Bagi prosees undian awal, dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mengandungi tiga tempat mengundi atau saluran awal.

Hari ini, seramai 863 pengundi awal bakal menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu yang baharu.

Daripada jumlah itu, seramai 625 adalah anggota polis, 238 tentera dan pasangan berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – MalaysiaGazette