Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA) pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA) hari ini menjalinkan usahasama memantapkan kelestarian pendidikan dan latihan kemahiran khususnya dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menerusi inisiatif Jejak Bakat Anak Tentera (JEBAT) YLTAT, kerjasama itu diharap dapat meningkatkan kebolehpasaran anak-anak warga dan veteran ATM dengan menyediakan latihan industri serta laluan bagi penempatan pekerjaan kompetitif.

“Melalui kerjasama itu, anak-anak warga ATM berpeluang menjalani latihan industri dan penempatan di bawah program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé) di GTA untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran.

“GTA akan menaja elaun bulanan seramai 60 hingga 80 anak warga dan veteran ATM yang terpilih sepanjang tempoh dalam program Protégé di bawah Syarikat Kumpulan Global.

“GTA akan menaja sebahagian elaun bulanan anak-anak warga dan veteran ATM yang berjaya melanjutkan pelajaran di UniKL melalui usahasama trilateral ini.

“GTA dan UniKL juga akan merangka dan menyelaras Program Industrial Placement and Training bagi anak-anak warga dan veteran ATM yang terpilih,” kata Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi; Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Profesor Madya Ir. Dr. Azman Senin pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi; Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Profesor Madya Ir. Dr. Azman Senin pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Usahasama antara YLTAT, UniKL dan GTA yang ditandatangani hari ini bagi tempoh selama dua tahun bermula Jun 2024 sehingga Mei 2026.

Selain itu, UniKL akan menawarkan Program Asasi melalui UniKL Top Achievers Foundation Scholarship (UTAFS) di mana pengecualian yuran diberikan kepada anak-anak warga dan veteran ATM yang layak sebagai program perintis bagi 2024 dan kemasukan bermula Julai dan September tahun ini.

“UniKL juga akan menawarkan peluang pendidikan peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sijil Profesional dan sebagainya kepada anak-anak warga dan veteran ATM serta membantu permohonan pinjaman pendidikan atau biasiswa

“YLTAT akan menyediakan calon yang merupakan anak-anak warga dan veteran ATM termasuk pelajar aliran tahfiz secara eksklusif untuk menyambung pengajian di UniKL dan penempatan latihan industri serta penempatan di bawah Protégé di GTA,” katanya.

Dalam pada itu, kerjasama strategik itu juga untuk menyambut saranan dan usaha kerajaan dalam melonjak ekosistem pendidikan dan kebajikan serta latihan kemahiran anak-anak warga dan veteran ATM agar terus terbela.

“GTA, YLTAT dan UniKL juga komited untuk memastikan penegasan berterusan terhadap kepentingan pendidikan, akses saksama terhadap pendidikan berkualiti tinggi untuk setiap lapisan masyarakat serta penyediaan kurikulum yang relevan.

“GTA, YLTAT dan UniKL turut mengalu-alukan sokongan dan penyertaan daripada semua pihak termasuk pihak kementerian, agensi-agensi, pemain industri serta institusi berkaitan dalam usaha melaksanakan usaha murni ini,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast