Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai-pegawai kanan termasuk seorang Pengurus Besar di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Dalam satu kenyataan, KPKM berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab supaya kes ini dapat dijalankan siasatan dengan adil dan telus.

“Pada masa yang sama, KPKM sentiasa komited dalam usaha-usaha pencegahan rasuah dan meletakkan keutamaan terhadap tahap integriti yang tinggi di kalangan pegawai dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana perlakuan rasuah dan amalan tidak berintegriti,” katanya.

KPKM, tambahnya, melaksanakan usaha berterusan membanteras sebarang bentuk salah guna kuasa, konflik kepentingan, gejala rasuah dan penyelewengan melalui penambahbaikan arahan-arahan dalaman melibatkan pelbagai gerak kerja jabatan dan agensi di bawah kementerin ini.

Kelmarin, SPRM Kelantan menahan tiga pegawai kanan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki terlibat meminta dan menerima wang rasuah bagi pelbagai projek termasuk projek pembekalan di negeri ini.

Ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dipercayai ditahan kira-kira jam 7.30 malam tadi ketika dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM Kelantan.

Suspek dipercayai terlibat meminta dan menerima wang rasuah daripada beberapa individu atau syarikat dimana jumlah rasuah masih dalam siasatan SPRM dan mereka kini direman untuk disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette