Anggota Polis menunjukkan jari yang telah dicelup dakwat kekal selepas membuang kertas undi bagi menunaikan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu. Foto MOHD ADZLAN, 07 MEI 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Sebanyak 97 peratus keluar mengundi awal pada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, peratusan itu dicatatkan selepas dua pusat mengundi awal di Dewan Serbaguna Maktab PDRM, Kuala Kubu Baharu dan Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri, Kem Erskine ditutup jam 5 petang tadi.

“Proses mengundi awal bagi PRK Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu melibatkan seramai 769 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis dan tentera serta pasangan. Peratus keluar mengundi bagi hari mengundi awal adalah sebanyak 97 peratus.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao; Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN); Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu kerana kanser.  Lee berkhidmat sebagai wakil rakyat di kerusi berkenaan sejak 2013.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Ogos tahun lalu, mendiang Lee menewaskan calon PN, Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

DUN Kuala Kubu Bharu memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette