Calon Pakatan Harapan N.06 Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao.

KUALA KUBU BAHARU – Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tau menafikan dakwaan Kerajaan Perpaduan menyalahgunakan jentera dan dana dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang sedang berlangsung.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan menggunakan saluran yang betul dan menggunakan platform kempen berlandaskan undang-undang.

“Saya yakin setakat ini kempen Kerajaan Perpaduan berjalan berlandaskan peruntukan undang-undang. Saya yakin setakat ni kita berkempen secara berhemah mengikut undang undang negara

“Pihak pembangkang boleh bersuara apa sahaja tapi saya yakin kita berkempen secara berhemah dan mengikut undang-undang sepanjang ini,” katanya kepada media selepas meninjau proses undian awal di Maktab PDRM Kuala Kubu Baharu, pagi ini.

Semalam, Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan membuat petisyen kepada Mahkamah Pilihan Raya sekiranya gabungan PH memenangi PRK kali ini.

Alasannya, Kerajaan Perpaduan telah salah guna kuasa dan jentera sebelum dan ketika kempen PRK sedang berlangsung.

Tambahnya, dakwaan itu boleh dirujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang mana Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad dari Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pada pilihan raya berkenaan.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk menghadapi petisyen oleh PN sekiranya beliau menang, Sock Tao bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Setakat ni fokus kita adalah untuk memastikan kemenenangan berpihak kepada kerajaan perpaduan.

“Yang seterusnya itu nanti kita tengok macam mana. Tapi saya ingin tegaskan di sini kempen Kerajaan Perpaduan berlandaskan undnag-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette