Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN – Kerajaan Pahang memandang serius  fahaman yang merosakkan akidah Islam dan ajaran sesat termasuk fahaman Ahmadi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan terus pemantau memantau penyebaran ajaran Ahmadi.

Selain pemantauan, tindakan lanjut bagi membendung fahaman itu akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Syariah termasuk bekersama dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  (JAKIM)

Fahaman tersebut merupakan ajaran diketuai oleh seorang individu mengaku dirinya ialah Imam al-Mahdi dengan menggunakan gelaran Abdullah Hashem Aba al-Sadiq manakala pendeta mereka di Malaysia dan Indonesia bernama Kashfullah Amaluddin.

”Ajaran ini menyeru orang ramai turut menjadi pengikut Imam al-Mahdi dan pemimpin Imam Mahdi yang didakwa muncul masa kini.

”Mereka mempercayai penjelmaan semula  juga mempercayai utusan Tuhan itu terdiri daripada pelbagai manusia yang hebat daripada pelbagai agama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Syed Ibrahim, kebimbangan tercetus kerana akaun Tiktok ajaran itu mempunyai pengikut lebih 30,000 pengikut  dan mempunyai jumlah penonton yang ramai apabila mereka membuat live menggunakan medium Bahasa Melayu.

Justeru kerjasama daripada pelabagai pihak perlu menangani susulan isu berkenaan yang telah menimbulkan pelbagai reaksi serta persoalan daripada umat Islam.

Mengulas lanjut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat laman sesawang dan menurunkan lima kandungan media sosial berkaitan ajaran sesat The Ahmadi Religion of Peace and Light (AROPL).

SKMM telah mengambil tindakan penurunan terhadap lima kandungan media sosial berkaitan ajaran The Ahmadi berdasarkan permohonan kepada penyedia platform media sosial manakala tindakan sekatan telah diambil terhadap satu laman sesawang dengan kerjasama penyedia perkhidmatan.

Syed Ibrahim menegaskan, meskipun Pahang tidak terlibat dan terkesan ajaran berkenaan namun tidak memandang mudah mengenainya.

“Masyarakat adalah dinasihatkan agar tidak menyebarnya jika menerima video berkenaan agar tidak berlaku penularan kepada yang tidak memahaminya,” katanya. – MalaysiaGazette