Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto MUHD NA’IM, 21 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Siasatan polis ke atas satu laman sosial Instagram atas nama Muhammad Imran Suresh mendapati ia adalah akaun palsu yang sengaja dicipta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, individu berkenaan dilihat berniat sengaja cuba menganggu dan mencetuskan persepsi negatif berhubung kejadian serangan simbah asid ke atas pemain skuad Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim dalam kejadian pada Ahad lalu di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberi amaran tegas yang pihaknya tidak akam teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pengendali atau pemilik akaun media sosial yang dipercayai cuba menimbulkan kebencian terhadap pemain bola sepak kebangsaan.

“Kita akan memantau semua akaun-akaun ini (pengguna media sosial) dengan meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kita tidak boleh memberi ruang kecil untuk mereka ini ambil kesempatan untuk merosakkan keadaan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, setakat ini, tiada laporan diterima pihaknya terhadap mana-mana akuan media sosial yang mencetuskan spekulasi tidak bertanggungjawab.

“Kita akan terus memantau semua pengguna atau pemilik akaun media sosial..kalau ia buat spekulasi tak bertanggungjawab akan dipanggil dan jika ada laporan kita akan siasat,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan seorang pemilik media sosial dikenali Muhammad Imran Suresh sedang dikenal pasti PDRM berhubung kenyataan dikeluarkanya mengenai kejadian simbah asid tonggak skuad Harimau Malaya.

Beliau berkata, individu berkenaan mempunyai maklumat berkaitan kejadian yang menimpa Faisal.

Terdahulu, seorang pemilik laman sosial Istagram mendakwa dia telah dipanggil polis bagi membantu siasatan kes melibatkan kes Muhammad Faisal.

Beliau mendakwa mempunyai maklumat dan diminta menutup mulut daripada mendedahkan mengenai kejadian sebenar yang menimpa pemain berkenaan.- MalaysiaGazette