Tengku Zulpuri Shah  Raja Puji 

KUANTAN – Susulan Malaysia bakal menjadi negara tua menjelang 2030, kerajaan negeri disaran untuk membina institusi warga emas di Raub.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah  Raja Puji berkata, kerajaan negeri seharusnya mengambil mengambil tindakan awal dalam tempoh tujuh tahun ini  sebagai persediaan.

Jelasnya,  setakat ini, belum ada institusi untuk golongan terbabit, berbanding institusi kanak-kanak seperti Rumah Tengku Ampuan Fatimah (RKKTAF) dan  Rumah Sultan Kelsom (RKKSHK) di Kuantan.

“Kedua- dua institusi rumah kebajikan kanak-kanak ini berada di Kuantan. Jadi, mohon pertimbangan juga rumah-rumah warga emas atau tua di Sempalit dan Sungai Ruan diambil alih kerajaan.

”Saya mencadangkan agar Rumah Sejahtera Perkampungan Ibadah yang diuruskan ketika ini oleh NGO diambil alih dan dinaikkan taraf sebagai Rumah Seri Kenangan (RSK) Mini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini hari ini.

Menurut Tengku Zulpuri, RSK  Mini tersebut dicadangkan agar dilaksanakan di bawah peruntukan kerajaan negeri seperti yang telah diwujudkan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini.

Manakala Rumah Sejahtera merupakan tanah kerajaan negeri Pahang yang masih belum diwartakan tetapi di dalam proses permohonan.

Perkara tersebut wajar dipertimbangkan memandangkan bilangan  orang tua sekitar 700 orang daripada 1,767 penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh Raub – MalaysiaGazette