KUALA LUMPUR – Seramai 200 ibu tunggal kurang berkemampuan diraikan apabila menerima sumbangan berupa kek secara percuma oleh Gerbang Malaya Sdn. Bhd. (Gerbang Malaya) sebagai salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
Pemilik dan Pengarah Urusannya, Mior Ashraf Norul Bashah berkata, program seumpama itu adalah kali pertama dianjurkan pihaknya bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Ibu.
Jelas beliau, idea itu tercetus selepas melihat banyak pihak tampil menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan ketika ini.
“Kami berasa amat teruja dan terpanggil bukan saja mahu menceriakan golongan itu malah menghargai pengorbanan yang dipikul mereka.
“Sebanyak 200 biji kek dengan perisa kiwi dan mangga diagihkan kepada ibu-ibu tunggal di sekitar kawasan Shah Alam sebagai tanda penghargaan perit jerih mereka menguruskan keluarga.
“Pemberian kek percuma ini bukan saja mahu menceriakan golongan itu malah sebagai satu kerja sosial Kek Malaya menghargai kaum wanita juga” katanya pada majlis penyampaian sumbangan itu baru-baru ini.
Mior Ashraf menambah, ketika ini, Kek Malaya turut menawarkan jualan amal kek viral keluarannya pada harga RM15.
“Sebahagian daripada hasil jualan itu kemudian akan disalurkan terus kepada rumah anak yatim.
“Sempena sambutan Hari Ibu, kami mahu meraikannya bersama pelanggan yang setia dengan Kek Malaya sejak lima tahun lalu,” katanya.
Kedai Kek Malaya mula beroperasi pada tahun 2019 dan kini mempunyai empat buah cawangan iaitu di Ole-Ole Mall, Shah Alam, Taman Alam Megah, Shah Alam, Taman Pertama, Cheras dan Subang Perdana. – MalaysiaGazette