Keadaan sekitar Jalan Sultan Ismail telah dibersihkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akibat pokok tumbang semalam. Foto SYADILA AMARI, 08 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Tiada lagi perancangan untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak dalam masa terdekat.

Itu yang dimaklumkan ahli keluarga Allahyarham Md Rizal Atan, 47, pemandu peribadi yang maut dihempap pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini semalam.

Adik bongsu allahyarham, Shahrizan Atan, 38, berkata, buat masa ini, keluarganya masih memerlukan masa untuk bertenang kerana terkejut dengan pemergian allahyarham yang berlaku sekelip mata.

Bagaimanapun, beliau berharap keadaan pokok uzur di lokasi berisiko seperti tepi jalan di ibu kota wajar diberi perhatian segera oleh pihak bertanggungjawab.

“Saya kecewa, saya lihat pokok yang tumbang semalam sangat uzur dan sepatutnya diselenggara bukannya tunggu perkara yang sebegini barulah hendak ambil tindakan.

“Disebabkan tragedi ini, saya kehilangan abang saya sekelip mata,” ujarnya dalam sebak.

Shahrizan Atan.Foto SYADILA AMARI, 08 MEI 2024.

Menurut Shahrizan, mereka sekeluarga masih lagi berasa ralat dan sedih dengan tragedi yang menimpa allahyarham.

“Buat masa ini, kami ingin selesaikan satu-satu urusan dahulu. Kemudian baru kami akan berbincang antara ahli keluarga untuk tentukan sama ada hendak ambil tindakan atau tidak.

“Saya hanya ikut cakap waris (isteri allahyarham). Jika dia hendak ambil tindakan, kami akan ambil. Jika dia reda, kami terima,” ujarnya ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Tambah Shahrizan, buat masa sekarang, hanya pihak majikan arwah  sahaja yang telah menghubungi keluarga mangsa dan mengucapkan takziah.

“Kami sekeluarga sudah pun membuat laporan polis. Majikan juga sudah berhubung dengan isteri arwah.

“Pada masa sekarang, saya tidak pasti sama ada keluarga telah menerima sebarang sumbangan daripada majikan allahyarham,” ujarnya. – MalaysiaGazette