Sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Kompleks Sukan TLDM Lumut. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 APRIL 2024.

PUTRAJAYA – Laporan awal nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya pada 23 April lalu akan diterbitkan esok manakala laporan penuh dijangka siap dalam dua ke tiga minggu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan membuat kenyataan mengenai laporan tersebut.

“Dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Menteri Pertahanan sudah memberi maklum balas mengenai status laporan awal siasatan nahas helikopter (TLDM) di Lumut.

“Beliau memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa laporan awal akan diterbitkan esok dan ini laporan awal manakala laporan penuh dijangka siapa dua ke tiga minggu lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan mesyuarat Kabinet di kementeriannya di sini hari ini.

Pada 23 April lalu, seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut dalam nahas dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90. – MalaysiaGazette