Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bergambar bersama tetamu jemputan yang hadir pada Majlis Ulama Asia 2024 di Mandarin Oriental, KL. Foto AIZAT ZAINAL, 8 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Program Majlis Ulama Asia 2024 seharusnya menjadi medan untuk merangka pelan dalam menggalakkan perpaduan, keharmonian dan memerangi kezaliman, penindasan serta kebencian.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelan tindakan serantau oleh golongan ulama adalah penting dalam mencapai matkamat tersebut.

“Program ini seharusnya memudahkan perbincangan di kalangan ulama dan pemimpin untuk mencapai matlamat tersebut

“Majlis Ulama Asia memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesederhanaan yang boleh menawarkan tafsiran yang seimbang terhadap teks agama, memperjuangkan toleransi, dan membimbing orang beriman ke arah jalan tengah yang menjauhi ekstremisme sambil menekankan keseimbangan rohani,” kata Ahmad Zahid.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Ulama Asia 2024 di Mandarin Oriental, KL. Foto AIZAT ZAINAL, 8 MEI 2024

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Ulama Asia 2024 yang dihadiri 200 peserta, terdiri daripada ulama Islam dari negara-negara Asia.

Di Malaysia katanya, kesederhananan dizahirkan melalui pendekatan Malaysia Madani yang memastikan kestabilan melalui nilai dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang pelbagai berdasarkan kemampanan, belas kasihan, rasa hormat, inovasi, kemakmuran dan kepercayaan.

Nilai-nilai ini bukan hanya untuk rakyat Malaysia tetapi juga aspirasi sejagat untuk keamanan dan keharmonian.

Justeru kata Ahmad Zahid, Majlis Ulama Asia perlu secara aktif menentang ideologi ekstremis dan memupuk perpaduan sosial melalui dialog dan kerjasama dengan kumpulan yang pelbagai.

Penglibatan dengan penggubal dasar adalah penting untuk menyokong polisi yang berasaskan nilai Islam yang sederhana bertujuan untuk masyarakat yang inklusif dan saksama.

Beliau turut menegaskan, perpaduan antara negara harus melangkaui sempadan seperti ukhuwwah islamiyah yang menerima perbezaan kaum dan budaya tanpa diskriminasi berdasarkan warna kulit atau bahasa.

“Kesatuan fikiran, hati, dan perbuatan— wihdatul fikr, wihdatul qalb, dan wihdatul amal—penting untuk kestabilan dan daya tahan.

“Prinsip perkongsian kita daripada al-Quran dan as-Sunnah membimbing kita ke arah mencari keredhaan Allah.

“Mari kita teruskan semangat kerjasama dan dialog melangkaui perhimpunan ini, merentasi sempadan untuk memupuk keamanan dan rasa hormat-menghormati, bermula dengan setiap peserta Majlis Ulama Asia 2024,” kata Ahmad Zahid.

Majlis Ulama Asia 2024, anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Liga Dunia Islam, Arab Saudi.

Progam tersebut bertujuan memupuk perpaduan dan nilai murni serta menghormati perbezaan pelbagai dimensi dari sudut berdasarkan teras MADANI, teologi dan sosiologi.

Turut hadir Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Muslimin Sheikh Dr. Mohammad Abdulkarim Al-Issa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.-MalaysiaGazette