Mohamad Nizar Najib

KUANTAN – Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP)  komited membangunkan industri aeroangkasa di negeri  seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Khas Daerah Kecil Gebeng 2035 yang dilancarkan pada 13 September 2022.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi  dan inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, pembangunan itu melibatkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa dan Bandar Aeroangkasa yang akan dibangunkan di Seksyen 4, Kawasan Perindusrian Gebeng.

”Ia telah menarik minat ramai pelabur dari dalam dan luar negara kerana projek ini mempunyai potensi besar serta merupakan industri yang sedang berkembang .

“Menjadi salah satu pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi Pahang yang mana kerajaan negeri juga mensasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya satu peratus daripada pasaran balik pulih, penyelenggaraan dan pembaikan (MRO) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai RM15 trilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Rodzuan Zaaba (BN-Jenderak) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan lagj sektor perindustrian di Pahang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini.

Susulan itu pihaknya mengadakan libat urus bersama pihak Malaysia Space Agency (MYSA) untuk menerokai peluang kerjasama dalam bidang angkasa-sains.

”Kerjasama dalam bidang sains, teknologi terutamanya dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan  pembangunan sumber manusia selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030 yang dilancarkan pada 24 Mei ini,” katanya.

Tambah Mohamad Nizar, kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti beberapa kawasan berpotensi boleh dibangunkan  di sekitar stesen  Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini .

Antaranya Perindustrian Gebeng, Bentong dan Kompleks Makanan Halal Gambang  di Paya Besar. – MalaysiaGazette