Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri diarah memilih satu kampung angkat dan sebaik-baiknya kampung asal mereka dalam usaha menyelami masalah rakyat lebih mendalam dan menyeluruh.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, arahan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dibuat hasil pengalaman beliau yang pulang ke kampung halamannya di Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini.

Beliau yang Jurucakap Kerajaan Perpaduan memberitahu, lawatan Anwar yang buat pertama kali itu selepas menjawat jawatan perdana menteri itu telah merungkai banyak pemasalahan rakyat apabila dapat bertemu ramai pemimpin akar umbi.

“Perdana menteri telah arah setiap menteri mengambil sebuah kampung angkat dan ini adalah satu usaha ada mulakan sebelum ini tetapi beliau minta dirancakkan dan mengambil kampung angkat ini untuk seorang menteri itu berusaha untuk meneliti dan mendapat laporan mengenai perkembangan di kampung tersebut secara keselurahan.

“Ini adalah hasil daripada beliau yang menceritakan bagaimana kembali ke kampung beliau di Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam dan beliau mendapat sedikit sebanyak maklum balas daripada orang kampung mengenai mengenaik perkembangan sama ada dari segi pendidikan dan masjid.

“Dan beliau berharap supaya menteri-menteri juga boleh mengambil kampung angkat yang diusahakan sama ada kampung asal sendiri atau tidak tetapi niatnya untuk menyelami isu dan membantu sebanyak masalah yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan mesyuarat Kabinet di kementeriannya di sini hari ini.

Kelmarin, Anwar turut mencadangkan agar ketua pengarah dan jabatan memilih kampung asal mereka sebagai kampung angkat dalam usaha menyelami masalah rakyat lebih mendalam.

Perdana menteri berkata, kaedah itu dilihat berkesan dalam mendapat input permasalahan di kawasan asal mereka sendiri menerusi maklumat yang dikumpulkan hasil perjumpaan tidak formal.

“Saya cuba fikir kita belanja RM22 bilion lebih tolong orang miskin melalui segala jabatan dan Kementerian dan kita dapat input daripada ketua kampung dan penghulu.

“Tetapi apakah mungkin kita perkenal satu kaedah? Semua ketua-keuta jabatan, menteri semua sibuk. Tetapi boleh tak kita tugaskan setiap orang diberi amanah, Ketua Pengarah MKN (Majlis Keselamatan Negara), dia ambil satu kampung, sebaiknya kampung asalnya,” katanya pada majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette