M. Kumar

JOHOR BAHRU – Polis Johor percaya serangan terhadap pemain pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim tidak mempunyai kaitan dengan insiden membabitkan dua pemain negara baru-baru ini.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata, siasatan menyeluruh sedang dilakukan dan orang ramai diminta untuk tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu.

“Mangsa (Safiq) mendakwa tidak mendapat sebarang ugutan sebelum atau selepas kejadian.

“Malah ini merupakan satu insiden berasingan yang berlaku di Johor dan kita sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Community Policing Raya, di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai diminta memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan termasuk meneliti kamera litar tertutup berdekatan lokasi kejadian.

Kumar dalam pada itu berkata pihaknya memberi jaminan keselamatan terhadap pemain dan penyokong pada aksi perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat ini.

Beliau berkata, kawalan keselamatan juga akan dipertingkatkan dengan kekuatan 1,500 pegawai dan anggota.

Kereta pemain tengah pasukan JDT itu dipecah individu tidak dikenali dengan menggunakan tukul besi pada 10.05 malam tadi di Jalan Sri Gelam, di sini.

Kejadian berlaku ketika beliau memandu kereta Honda City dari Pusat Latihan JDT Sri Gelam menghala ke Pantai Lido dan kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pada Ahad lepas, negara digemparkan dengan insiden pemain kebangsaan Faisal Halim disimbah asid di pusat membeli-belah di Kota Damansara, Selangor dan insiden berlaku selang beberapa hari selepas pemain kebangsaan Muhammad Akhyar Abdul Rashid cedera disamun di Kuala Terengganu, Khamis lepas. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast