HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menepis dakwaan kononnya jentera Parti Keadlian Rakyat (PKR) kurang membantu beliau dalam berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang berbaki hanya dua hari lagi.
Katanya, PKR telah memberikan komitmen yang sangat baik terhadap kempennya dengan Naib Presiden parti itu yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sendiri telah turun padang menyampaikan ceramah melebihi empat kali.
“Bagi saya itu adalah satu dakwaan yang tidak benar dan Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Amirudin, Menteri Besar juga telah turun ke Kuala Kubu Baharu bantu kempen lebih tiga hingga empat kali.
“Semalam saya baru menyertai satu forum yang dianjur oleh grup PKR dengan ia turut dihadiri Naib Presiden PKR, Nurul Izzah.
“Banyaklah ahli-ahli politik dari PKR semua telah turun bantu termasuk di Batu 30 juga, Jadi tak betullah kalau kata tak bantu,” katanya kepada media ketika ditemui selepas mengadakan sembang santai kopitiam di sini, hari ini.
Sebelum ini, terdapat ‘cakap-cakap’ mendakwa, PKR kurang membantu kempen Sock Tao yang merupakan calon PH mewakili DAP.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca dakwaan itu dibuat.
Sementara itu, Sock Tao berkata, beliau akan mempergiatkan lagi kempennya dengan bertemu lebih ramai pengundi supaya perancangan yang hendak disampaikan untuk warga Kuala Kubu Baharu dapat difahami secara jelas.
Sock Tao berkata, dia akan berkempen habis-habisan sehingga jam bagi memastikan kemenangan berpihak kepadanya dan disebabkan itu usaha beterusan akan tetap dilakukan sehingga tamatnya tempoh berkempen pada pukul 11.59 malam, Jumaat nanti. – MalaysiaGazette