Allahyarham Zyan Rayyan

KUALA LUMPUR – Polis tidak pernah menutup siasatan kes pembunuhan Allahyarham adik Zayn Rayyan Abdul Matiin yang berusia enam tahun pada Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengakui kes itu masih aktif dan pihaknya sentiasa menantikan petunjuk baharu menerusi siasatan.

“Seperti yang selalu saya katakan, kami tidak pernah tutup mana-mana kes yang disiasat malah dalam kes Zayn kami menantikan petunjuk baharu, malangnya walaupun ganjaran ditawarkan kami tidak menerima petunjuk dalam kes ini.

“Saya faham masyarakat tak puas hati dengan perkembangan kes Zayn Rayyan ini tetapi macam saya sebut kita tak pernah lupa kes itu dan itu adalah ‘hutang’ saya kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Shuhaily berkata demikian selepas diminta mengulas tentang perkembangan terkini siasatan kes Zayn Rayyan.

Mengulas lanjut, beliau  secara peribadi  masih mengharap ‘sinar di hujung terowong’ dalam kes pembunuhan adik Zayn Rayyan.

“Sekiranya saya pencen tanpa selesaikan kes itu, ia akan jadi kegagalan bagi saya. Kami sudah mencuba yang terbaik dan menyiasat semua sudut tetapi masih lagi tidak menjumpai sebarang petunjuk baharu.

“Kita harap kes ini masih ada sinar dan kehadiran orang ramai ketika kejadian itu, berkemungkinan memusnahkan bukti-bukti yang ada, berkemungkinan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Pada 5 Disember lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang di Damansara Damai, Kuala Lumpur sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman keesokan harinya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast