Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan) dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir pada majlis Resepsi Penghargaan dan Pengumuman Pameran DSA 2026 dan NATSEC 2026 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di Jalan Duta hari ini.

KUALA LUMPUR – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 berjaya menandatangani urus niaga dan kontrak berjumlah RM9.45 bilion sepanjang penganjurannya selama empat hari.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu, Kementerian Pertahanan terlibat dalam urus niaga kontrak dan perjanjian berjumlah RM7.3 billion.

Menurut beliau, ia membabitkan masing-masing tujuh Surat Setuju Terima bernilai RM3.3 bilion dan kontrak dengan nilai keseluruhan RM1.9 bilion, empat Surat Niat (RM1.83 bilion), 10 Memorandum Persefahaman antara pelbagai tempatan, organisasi serantau dan antarabangsa dan pemain (RM0.28 bilion) dan dua Sijil Sistem Integriti Korporat Malaysia.

“Saya mesti mengulangi bahawa pelaburan dan penciptaan nilai yang disaksikan sepanjang minggu ini masih berkembang dan dijangka mencatatkan angka yang lebih tinggi.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana memberi komitmen, kepercayaan dan sokongan berterusan dan tidak berbelah bahagi kepada Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pemain industri pertahanan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Resepsi Penghargaan dan Pengumuman  Pameran DSA 2026 dan NATSEC 2026 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di Jalan Duta hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pameran dwitahunan yang sudah masuk edisi ke-18 tahun telah berlangsung bermula Isnin lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir pada majlis Resepsi Penghargaan dan Pengumuman Pameran DSA 2026 dan NATSEC 2026 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di Jalan Duta hari ini.

 

Mengulas lanjut, Khaled berkata, Kementerian Pertahanan Pertahanan dan ATM berjaya menganjurkan 10 kunjungan hormat dan penglibatan dua hala di peringkat Menteri Pertahanan dari pelbagai negara dan rakan sejawat.

Jelas beliau, ia turut melibatkan lima kunjungan hormat dan libat urus di peringkat Timbalan Menteri Pertahanan selain 11 kunjungan hormat dan libat urus di peringkat Ketua Setiausaha dan pengurusan atasan.

“Turut diadakan, sebanyak 70 kunjungan hormat dan penglibatan untuk semua cabang perkhidmatan di ATM. Daripada jumlah itu, sebanyak 36 membabitkan Ketua Angkatan Pertahanan serta Tentera Darat Malaysia, 19 Diraja Tentera Udara Malaysia dan 15 Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu dalam sidang media sama, Saifuddin Nasution berkata, bagi pihak Kementerian Dalam Negeri, sebanyak 14 kontrak memorandum persefahaman (MoU) dan urus niaga bernilai RM2.1 billion dimeterai dalam pameran tersebut.

Jelas beliau, ia melibatkan perolehan berimpak tinggi dalam kapal pengakut pelbagai guna, kapal induk polis dan enam holikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Perolehan ini dilihat penting dalam membantu meningkatkan aset pertahanan negara. Malah ia juga sangat bermakna untuk proses penugasan kawalan di perairan negara yang sangat luas, seterusnya menjadikan ia diurus dengan baik,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir pada majlis Resepsi Penghargaan dan Pengumuman Pameran DSA 2026 dan NATSEC 2026 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di Jalan Duta hari ini.

Saifuddin menambah, pembekalan perolehan melibatkan kamera badan yang akan dibekalkan kepada pihak berkuasa negara bakal memberi keyakinan kepada masyarakat umum.

Menurut beliau, penyediaan kemudahan seumpama itu boleh memastikan tahap integriti pihak penguat kuasa terpelihara semasa melaksanakan tugas di lapangan.

Tegasnya lagi, ia juga akan dapat meningkatkan keberkesanan proses penguatkuasaan undang-undang dan akan memberi nilai tambah kepada semua agensi penguatkuasaan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir pada majlis Resepsi Penghargaan dan Pengumuman Pameran DSA 2026 dan NATSEC 2026 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di Jalan Duta hari ini.