Ir Razali Kassim ketika menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri Pahang (DUN) di Wisma Sri Pahang hari ini.

KUANTAN – Sebuah kompleks parkir bertingkat bakal dibina sebagai alternatif menangani masalah parkir yang terhad di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Ir. Razali Kassim berkata, kompleks parkir itu merupakan blok tambahan di dalam pelan pembangunan bagi blok Wanita dan Kanak-kanak yang akan dibina nanti.

”Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah mengemukakan kepada Bahagian Perancang, Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai cadangan perancangan itu di bawah Pelan Jangka Masa Panjang Pembangunan HOSHAS.

”Pembangunan blok tambahan ini turut mengambil kira pembangunan kompleks parkir bertingkat dengan kapasiti yang lebih besar bagi menggantikan tapak parkir sedia ada.

”Cadangan tersebut bagi membina blok baharu tambahan untuk wanita dan kanak-kanak di dalam kawasan hospital berkeluasan 2.24 ekar,” katanya.

Razali berkata demikian ketika menjawab isu kesesakan tempat meletak kenderaan di HOSHAS oleh Hassanuddin Salim (Pas – Kuala Semantan) pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri Pahang (DUN), di sini, hari ini.

Menurut Razali, HOSHAS mempunyai 678 petak parkir menerima kadar pelawat yang tinggi susulan menerima rujukan kes-kes kompleks dari Hospital Kluster Pahang Barat.

Sebagai langkah mengawal kemasukan kenderaan oleh waris serta pesakit, HOSHAS telah melaksanakan aedah temujanji berperingkat di Klinik Pakar iaitu pesakit hanya boleh mendaftar 30 minit lebih awal sebelum waktu temujanji.

Langkah tersebut dilakukan supaya jumlah pesakit ini dapat dikawal dengan lebih teratur dan memberi ruang kepada waris serta pesakit merancang perjalanan ke hospital.

”HOSHAS turut merancang memperkenalkan kaedah temujanji secara digital melalui aplikasi HOSHAS bagi memudahkan pesakit serta waris membuat pengesahan kehadiran ke Klinik Pakar tanpa perlu tergesa-tergesa hadir di hospital pada awal pagi.

”Selain itu HOSHAS juga telah melaksanakan polisi dalaman di mana kakitangan hospital tidak dibenarkan meletak kenderaan di kawasan parkir di hadapan Klinik Pakar sehingga pukul 2 petang bagi memberi kemudahan kepada waris pesakit meletak kenderaan,” katanya.

Jelasnya, kakitangan hospital diarahkan untuk meletak kenderaan mereka di kawasan parkir yang disediakan di belakang hospital yang berkapasiti 120 petak parkir yang siap dibina pada Ogos 2021. – MalaysiaGazette