Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing berucap pada program Ramah Mesra ketika di Akademi PS Samy, Ampang Pecah. Foto MOHD ADZLAN, 09 MEI 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing merayu agar pengundi Kuala Kubu Baharu memberi peluang kepada calon kerajaan perpaduan, Pang Sock Tao pada Sabtu ini.

King Sing secara berseloroh berkata, sekiranya calon yang diketengahkan itu gagal untuk berkhidmat dengan cemerlang selepas dipilih pengundi maka Sock Tao perlu dihumban ke sungai.

“Bagi calon kita sekali lagi peluang untuk dia menjalankan tugas walaupun sudah dekat setahun berlalu (PRN).

“Kali ini beri peluang empat (tahun) perkhidmatan kalau dia (Sock Tao) tak berkhidmat (dengan) baik-baik tak apa Pilihan Raya Umum (PRU16) akan datang kita masuk dia dalam sungai, kasi buaya makan,” katanya dalam ceramah sempena program mesra rakyat di Kuala Kubu Baharu, hari ini.

King Sing berkata demikian dalam siri kempen hari ke-13 sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing berucap pada program Ramah Mesra ketika di Akademi PS Samy, Ampang Pecah. Foto MOHD ADZLAN, 09 MEI 2024.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu berkata, sekiranya Sock Tao berkhidmat dengan cemerlang, maka rakyat mempunyai alasan untuk memilih beliau pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kalau dia memberi perkhidmatan baik, kita terus beri peluang terus berkhidmat untuk Kuala Kubu Baharu, 11 Mei nanti kita nak tengok hasil,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas dengan Khairul Azhari mewakili PN.

Kerajaan Perpaduan meletakkan bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sock Tao manakala PRM diwakili Hafizah Zainuddin, manakala Nyau Ke Xin bertanding atas tiket bebas. – MalaysiaGazette