Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan kenyataan berkaitan kesan sampingan vaksin AstraZeneca kepada rakyat Malaysia dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru menjawab tentang perkara itu sebelum meneliti semula kontrak dengan syarikat farmasutikal tersebut.

“Kita akan mengeluarkan kenyataan berkenaan AstraZeneca dalam waktu terdekat, harap bersabar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mewakilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Clinical Research Malaysia (CRM) di Pusat Persidangan dan Acara Connexion (CCEC), Bangsar.

Sebelum ini, media melaporkan firma Farmaseutikal AstraZeneca buat kali pertama mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covid-19 yang dikeluarkan syarikat itu boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Pengakuan itu secara langsung boleh membuka jalan untuk pampasan undang-undang bernilai jutaan pound, dengan 51 kes dikemukakan di Mahkamah Tinggi setakat ini, menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM512 juta).

Gergasi farmaseutikal itu menghadapi saman atas dakwaan vaksin yang dibangunkan bersama Universiti Oxford boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam puluhan kes.

Peguam berhujah bahawa vaksin itu menghasilkan kesan sampingan yang memberi kesan buruk kepada sebilangan kecil individu. – MalaysiaGazette