BATANG KALI – Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menerima MCA sekiranya parti itu ingin bersama-sama gabungan ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi PN itu berkata, terserah kepada MCA sekiranya mahu bergerak solo atau mahu berbincang dengan mana-mana pihak selepas rasa kecewa ‘terpinggir’ sebagai komponen Barisan Nasional (BN).
“Saya mengikuti kenyataan Datuk Seri Wee Ka Siong (Presiden MCA), dia kena meneliti situasi yang telah berlaku kepada BN. Pastinya apa yang telah berlaku tidak memberi apa-apa keuntungan pada MCA, begitu juga MIC sebagai rakan.
“Malah mereka sudah diketepikan, dah dinafikan peluang untuk bertanding, macam-macam perkara dibuat oleh UMNO menyebabkan MCA dan MIC secara umumnya telah disisihkan.
“Saya fikir wajar, saya bersetuju (MCA pertimbang keluar BN) untuk menunjukkan mereka ada maruah, kenapa mesti berpandu kepada BN,” katanya kepada media selepas Ceramah Umum bersama masyarakat India di Bandar Utama, Batang Kali, lewat petang tadi.
Jelas Muhyiddin lagi, jika MCA mahu bekerjasama dengan mana-mana pihak terserah, mereka boleh bincang dengan sesiapa termasuk Gerakan, atau PN.
“Kita sentiasa terbuka dan kita akan teliti kalau betul keadaan itu berlaku. Apa pun itu keputusan MCA, jadi kita terima apa yang telah dinyatakan Presiden MCA,” katanya lagi.
Terdahulu, Ka Siong meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta supaya tidak membuat keputusan bersendirian mengenai rakan kerjasama gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.
Beliau berkata, jika UMNO berdegil untuk tetap bersama DAP pada PRU16, maka MCA tidak akan teragak-agak untuk bergerak solo.
Beliau mengingatkan Ahmad Zahid bahawa BN masih ada MCA dan MIC, maka sebarang keputusan perlu dibuat secara bersama. – MalaysiaGazette