KUALA LUMPUR – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini dibaling bom petrol pada awal pagi semalam menyebabkannya terbakar.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kedua-dua suspek yang berusia 25 tahun itu ditahan di rumah mereka dalam serbuan di Batu Caves, Selangor, pada jam 3 petang hari ini.

“Polis akan membuat permohonan perintah reman terhadap kedua-dua suspek itu esok (Sabtu) untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Balai Polis Jinjang, di sini, malam ini.

Menurut Rusdi, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 435/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api serta ugutan jenayah.

Katanya, polis telah mengambil keterangan daripada pemilik premis dan pengurus pusat hiburan berkenaan untuk membantu siasatan.

“Kita masih menyiasat motif kejadian tersebut. Berdasarkan siasatan awal polis mendapati kami menolak kemungkinan kejadian ini mempunyai kaitan dengan aktiviti ekstremis,” ujarnya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat berhampiran premis terbabit yang memaparkan insiden yang turut tular di media sosial sejak semalam.

Rakaman itu menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian itu. – MalaysiaGazette