Datuk Ramanan Ramakrishnan.

HULU SELANGOR – Masyarakat India di Kuala Kubu Baharu kini telah sedar dengan penyebaran berita-berita palsu yang ditularkan pihak tertentu sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di sini.

Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR, Datuk R. Ramanan berkata, berita palsu yang ditularkan oleh pihak terbabit tidak mungkin dapat mempengaruhi kaum India di sini selepas pencerahan mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan diulas secara jelas.

Mereka mendapat maklumat yang lebih tepat susulan daripada program-program kempen serta aktiviti turun padang yang dilakukan oleh pemimpin Kerajaan Perpaduan di kebanyakan tempat.

“Memang mereka semua dah sedar, kalau kita tengok berita-berita palsu ini dia orang (musuh politik) boleh buat kalau kita tak turun ke padang.

“Sekarang kita tengok semua pemimpin (Kerajaan Perpaduan) telah turun ke padang. Mereka sudah beritahu (buat pencerahan) sebenarnya…macam mana berita palsu nak menang.

“Tetapi tentulah kita tak boleh pergi ke semua tempat. Banyak daripada penduduk di Kuala Kubu Baharu duduk di luar KKB. Jadi, saya mintalah pengundi-pengundi di luar KKB balik mengundi tunaikan amanah anda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama masyarakat Bukit Tagar di sini.

Dalam pada itu Ramanan akan membawa satu cadangan kepada Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung perkara tersebut

Katanya, beliau akan mengusulkan satu agenda agar setiap kawasan Parlimen khususnya di pedalaman mempunyai seorang wakil pimpinan daripada cabang parti yang berperanan memastikan maklumat yang betul dapat diterima di setiap kawasan ini.

“Ia bukanlah suatu keajaiban tetapi, ia akan menjadi kenyataan sekiranya kerja dijalankan dan masa pula akan menentukan,” ujatrnya. – MalaysiaGazette