Mutang Tagal

KUALA LUMPUR – Pemergian Senator Datuk Mutang Tagal sebentar tadi merupakan satu kehilangan besar yang tiada ganti buat rakyat Malaysia khususnya masyarakat Sarawak.

Menurut Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing, Mutang merupakan Yang Dipertua Dewan Negara itu seorang tokoh politik disegani dan amat dihormati.

“Saya hilang kata-kata, pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Sarawak dan negara.

“Beliau adalah satu figura politik dan pemimpin hebat, disukai serta mempunyai daya juang untuk rakyat jelata khasnya Sarawak dalam membangunkan negeri ini.

“Secara peribadi, saya amat terkesan dengan berita kematian YB Datuk Mutang Tagal. Salam takziah. Semoga semua ahli keluarga dan kenalan rapat akan diberikan kekuataan dalam menghadapi situasi sedih ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing

Mendiang Mutang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur hari ini.

Beliau disah menghembuskan nafas terakhir pukul 11.46 pagi tadi selepas menerima rawatan di pusat kesihatan itu sejak 6 Mei lalu.

Mutang, 70, mengangkat sumpah jawatan pada 19 Februari lalu sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20.

Beliau adalah Orang Ulu yang pertama dilantik memegang jawatan itu selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas di Sarawak dari 1982 hingga 1990 selain memiliki latar belakang pendidikan serta praktis dalam bidang perundangan.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan tiga anak. -MalaysiaGazette