Mohamad Nizar Najib

KUANTAN – Pahang bakal melaksanakan Projek Jana Kuasa Tenaga Angin pertama di Malaysia menerusi Pahang Wind Farm.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi Dan Alam Sekitar Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, kerajaan negeri berkolaborasi bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam cadangan projek berkenaan.

“Nilai pelaburan projek ini dianggarkan berjumlah RM800 juta dan berkapasiti dua gigawatt (GW). Ia akan dilaksanakan di beberapa daerah iaitu Pekan, Rompin, Kuantan dan Lipis dan di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP)” katanya.

Mohamad Nizar berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Sidang Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang hari ini.

Terdapat lima projek tenaga solar lagi bertapak di Pahang melalui beberapa syarikat swasta dengan anggaran nilai pelaburan  RM200 juta bagi setiap projek.

Selain itu, Pahang Invest Pahang juga sedang meneliti beberapa cadangan yang melibatkan konsep solar terapung dan cadangan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV).

Beberapa inisiati dengan kerjasama dengan beberapah negara seperti New Zealand, China dan UAE telah dilaksanakan dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa ke Pahang pada tahun lalu. – MalaysiaGazette