Seorang wanita warga asing yang cuba bersembunyi berjaya ditahan JIM Johor dalam serbuan dilakukan pada Rabu lalu.

ISKANDAR PUTERI – Seramai 52 warga asing dan dua warga tempatan yang merupakan pengurus serta pengarah syarikat ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam serbuan berasingan di kilang roti dan aluminium dekat sini baru-baru ini.

Pemangku Pengarah JIM Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata, serbuan dalam Ops Mahir yang dijalankan kira-kira 11 pagi Rabu lepas dan seramai 76 warga asing dan tempatan telah diperiksa.

“Tindakan ini dilakukan  susulan maklumat awam berhubung warga asing yang disyaki bekerja tanpa pas atau permit di kilang terbabit.

“Dalam operasi di kilang aluminium seramai 10 lelaki warga Bangladesh, 10 lelaki warga Pakistan, empat lelaki China dan tiga lelaki warga Myanmar berumur 20 hingga 46 tahun ditahan,” katanya menrusi kenyataan media.

Sementara itu, serbuan  di kilang roti pula membawa penahanan kepada 14 lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar, dua lelaki warga Pakistan serta seorang warga Nepal masing-masing berusia 21 hingga 42 tahun ditahan.

Turut ditahan seorang wanita warga tempatan berusia 43 tahun yang merupakan pengurus kilang aluminium dan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang merupakan pengarah syarikat kilang roti.

Beliau berkata, warga yang ditahan dipercayai dengan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

Kesalahan itu dibawah peruntukan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

“Sebanyak tiga notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada individu yang terbabit dalam operasi itu bagi membantu siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette