Persaingan hebat antara Sock Tao dan Khairul

ESOK akan menentukan siapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu.

Seramai 40,226 pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan sama ada Khairul Aizat Saut (Perikatan Nasional); Nyau Ke Xin (Bebas); Hafizah Zainuddin (PRM) dan Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dari DAP sebagai calon mewakili mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

IMBAS SEMULA.Calon Pakatan Harapan N.06 Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao (kanan) bersama calon Perikatan Nasional N.06 Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut (kiri), calon bebas, Nyau Ke Xin (dua kiri) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin (dua kanan) bergambar bersama selepas selesai menghantar borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.

Sudah tentu persaingan utama adalah antara PN dan Kerajaan Perpaduan.

Atas kertas sudah tentu Sock Tao berkemampuan menggantikan mendiang Lee Kee Hiong yang juga daripada DAP.

Namun menurut sumber, persaingannya dengan PN hampir 50-50 kerana dihangatkan dengan isu-isu nasional semasa berkempen.

PN menurunkan semua top gun berkempen namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (setakat ini) tidak turun berkempen.

Namun kelibat Anwar sibuk ke merata negeri menyelesaikan isu dan cadangan kenaikan gaji penjawat awam memberi impak positif.

Setiausaha DAP, Anthony Loke banyak membantu kempen calonnya kali ini.

Bagi parti kerajaan, mengekalkan calon mereka penting bagi meneruskan kesinambungan dan memudahkan banyak perkara kepada rakyat berbanding calon pembangkang.

Isu Sok Tao bukan anak tempatan bukan soalnya.

Sokongan 30 peratus pengundi Cina nampaknya tidak menjadi masalah tetapi bagi 47 peratus undi Melayu dilihat berbelah bahagi.

Ada juga kata 17 peratus pengundi India menjadi king maker.

Bagi PN sudah tentu Khairul dicanang anak jati dan berpengalaman dalam isu tempatan kerana pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Isu perlunya PRK menjadi referendum juga dibangkitkan kembali sebagai protes kepada kerajaan sekarang kerana jika menang PN tak mengubah apa-apa kerana kerajaan negeri dan pusat masih di bawah PH-BN.

Cabaran kepada UMNO bagi ‘mengikat’ pengundi Melayu melawan PN walaupun mereka menurunkan otai lama seperti bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Zainal Sakom.

PN juga banyak membawa isu nasional seperti sukarnya bekerjasama dengan DAP, UMNO pembelot orang Melayu dan dakwaan keburukan yang pernah dikatakan terpalit kepada Anwar.

Apa pun pengundi sudah ada pilihan masing-masing dan mereka akan menentukannya melalui proses demokrasi esok.

Bak bait lirik lagu Joget Kenangan Manis dengan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad; “Kalau pergi Kuala Kubu, tulis nama atas batu..”

Esok kita tengok nama siapa tertulis atas batu di KKB! – MalaysiaGazette