KUALA KUBU BAHARU – Semua 39,362 pengundi berdaftar di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dinasihatkan untuk keluar mengundi mengikut waktu yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, gesaan itu bagi memastikan kaunter pusat mengundi tidak sesak dengan kehadiran pengundi.
“Kita nasihatkan keluar mengikut masa yang telah dicadangkan kalau ikut MySemak memang kita ada cadangkan masa yang sesuai samada jam 10 pagi ataupun 12 tengahari.
“Kalau serbu waktu pagi, akan sesak, kita nasihatkan keluar ikut masa yang telah ditetapkan yang dicadangkan. Kalau tidak ada pilihan, tidak ada masalah,” katanya kepada media selepas meninjau persiapan SPR bagi hari mengundi di sini hari ini.
Ikmalrudin berkata, pengundi dinasihatkan membuat semakan awal maklumat pengundian bagi mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Dalam pada itu, Ikmalrudin berkata, pengundi di Kuala Kubu Baharu yang layak seharusnya mengambil peluang untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Malah beliau turut menasihatkan pengundi-pengundi luar yang ingin pulang agar memandu secara berhati-hati.
“Inilah masanya untuk anda menunaikan tanggungjawab, bukan mudah untuk mendapatkan PRK ini. Jarang-jarang berlaku.
“Kalau ada pengundi luar itu boleh balik tapi berhati-hati. Sebab cuaca sekarang hujan tapi disini saya lihat cuaca mungkin mengizinkan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada SPR akan memanggil Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming untuk memberikan keterangan bagi menjalankan siasatan, Ikmalrudin bagaimanapun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.
“Tidak ada (panggil Nga Kor Ming), kena faham apa-apa urusan tentang kesalahan pilihan raya yang mendakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya kita serah kepada polis, SPRM untuk menyiasat.
“Kita SPR tidak menyiasat sebab kita badan bebas, apa-apa siasatan akan menggunakan Akta Kesalahan Pilihan Raya,” jelas beliau.
Sebelum ini, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Saleh berkata, tindakan untuk memanggil Kor Ming akan diserahkan kepada pengerusi baharu kerana beliau akan bersara Khamis ini.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, peruntukan untuk menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkenaan diberikan bersempena Program Sentuhan Kasih yang dilaksanakan di bawah kementeriannya.
Tambah beliau, perkara itu bukan menjadi isu yang menyalahi peraturan pilihan raya berikutan pengumuman itu dibuat sebelum hari penamaan calon.
Bagaimanapun Perikatan Nasional (PN) mendesak SPR supaya mengambil tindakan berikutan pengumuman peruntukan oleh Kor Ming menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu melanggar peraturan pilihan raya.
KPKT pada 18 April mengumumkan memperuntukkan RM5.21 juta membabitkan 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). – MalaysiaGazette