HULU SELANGOR – Sepasang suami isteri sanggup berkelana hampir 200 kilometer dengan memandu kereta sendiri dari Kuala Kangsar, Perak demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, hari ini.
Abdul Rahim Bidin, 67, ketika ditemui media berkata, biarpun beliau mempunyai penyakit strok manakala, isterinya Noraini Mansor, 65, diuji dengan kanser, namun mereka tidak menjadikan semua itu sebagai alasan untuk menghalang hak sebagai pemilih.
Abdul Rahim dan isterinya yang tiba di pusat mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Khing Ming di sini selesai mengundi pukul 8.30 pagi tadi.
“Dulu kami duduk Batang Kali dan berpindah ke Kuala Kangsar 10 tahun lalu selepas saya bersara daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Walaupun jauh, tapi ini tanggungjawab sebagai kami sebagai pengundi. Kami bergerak kira-kira pukul 4 pagi tadi dan selepas ini terus pulang ke Kuala Kangsar,” katanya.
Justeru, Abdul Rahim berharap wakil rakyat yang dipilih dapat membawa lebih banyak pembangunan di Kuala Kubu Baharu.
Sementara itu, Seorang pesara tentera, R. Ganesan, 57, berharap semua pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini.
“Semu kena mengundi hari ini. Tak undi kita rugi sebab itu kewajipan kita.
“Harapan saya kemudahan di Kuala Kubu Baharu dapat ditambah baik terutamanya hospital di sini,” jelasnya.
Sebanyak 18 pusat mengundi dengan 74 saluran dibuka pukul 8 pagi hari ini membabitkan 39,269 pemilih berdaftar pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, calon Pakatan Harapan (PN), calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, mendiang Lee Kee Hiong 21 Mac lalu. – MalaysiaGazette