BATANG KALI – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut mengharapkan peratusan mengundi pada hari ini meningkat berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN), tahun lalu.
“Peratusan keluar mengundi harus ada peningkatan sedikit berbanding sekitar 67 peratus pada PRN.
“Kita harapkan peratusan mengundi lebih besar kali ini,” katanya di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali, pagi tadi.
Beliau yang diiringi beberapa pengawal keselamatan meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi meninjau proses pengundian rasmi di pusat pengundian tersebut.
Pusat pengundian ini mempunyai 3,183 pengundi dengan enam saluran dibuka bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.
Khairul Azhari berkata, sebagai calon, beliau semestinya mahu menang dan berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Saya agak yakin dengan gerak kerja selama dua minggu terakhir ini, saya yakin dapat mencapai sesuatu yang paling baik untuk Perikatan Nasional,” katanya.
Pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu menyeru agar pengundi mengambil kesempatan cuaca cerah di sebelah pagi untuk turun beramai-ramai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya harapakan semua pengundi segera keluar, takut hujan sebelah petang nanti dan sebagainya.
“Saya mohon pengundi boleh keluar beramai-ramai, tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan seramai 39,362 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu.
Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup 2 petang. – MalaysiaGazette
Apalah manfaat yg penduduk Kuala Kubu Baru akan dapat esok kalau mengundi pembangkang ni yer…