GEORGE TOWN – Lima kenderaan mengalami kerosakan akibat ditimpa pokok yang tumbang di Jalan Macalister, di sini, pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal Nazril Hisyam Napiah berkata satu pasukan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan mengenainya pada kira-kira pukul 10 pagi.
Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati ada dua batang pokok yang tumbang merintangi jalan, dengan salah satunya memasuki kawasan parkir bangunan berhampiran.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan, hanya lima kenderaan rosak akibat ditimpa pokok berkenaan selain pagar bangunan itu turut rosak,” katanya di sini.
Selain bomba, operasi turut membabitkan petugas beberapa agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), yang membantu mengalihkan dan membersihkan kawasan.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus Joshua Woo Sze Zeng menerusi hantaran di Facebook, berharap MBPP mempunyai pelan tindakan yang agresif untuk menjadualkan kerja-kerja memangkas pokok yang berisiko menyebabkan kemalangan.
“Jika ada keperluan untuk memotong pokok-pokok yang berbahaya ini, pihak MBPP diingatkan supaya tidak mengabaikannya demi memastikan keadaan kawasan awam dan jalan selamat untuk para pengguna. Keutamaan kita adalah keselamatan penduduk,” katanya. – BERNAMA