Pengundi warga emas, Yuen Yun, 90 dan Chin Choon Kew, 90 berpegang tangan selepas selesai menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Baharu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming, Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 11 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Dua sahabat warga emas merupakan antara puluhan pengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC), Khing Ming yang mencuri perhatian ramai apabila datang ke pusat pengundian itu sambil berpegangan tangan.

Yuen Yun dan Chin Choon Kew, masing-masing berusia 90 tahun, merupakan antara pengundi yang datang awal untuk menunaikan hak sebagai warganegara.

Ketika ditemui media di luar pusat mengundi, Yun berkata, mereka berdua bersahabat karib dan akan tetap bersama walau pergi ke mana sekalipun.

Katanya, mereka berdua tinggal berhampiran di Jalan Damai di dalam kawasan Kuala Kubu Baharu

“Saya dan dia (Choon Kew) berkawan sejak dari kecil…kami akan bersama walau ke man-mana kami hendak pergi.

“Pagi ini saya dan dia hanya jalan kaki datang ke mari nak undi. Lagipun tempat tinggal kami tak jauh pun dari sini,” katanya yang selesai mengundi pukul 10 pagi tadi.

Berdasarkan pemerhatian, kedua-dua warga emas itu yang dilihat telah uzur tetap bersemangat untuk hadir ke pusat pengundian tanpa diiringi sesiapa yang lebih muda.

Kedua-dua mereka dilihat sentiasa tersenyum di sebalik raut wajah yang dimamah usia.

Meskipun, kedua-duanya terpaksa berjalan secara terbongkok-bongkok namun, mereka tetap gagah untuk berjalan dari kediaman masing-masing hanya semata-mata mahu membuat pilihan memilih seorang yang boleh mewakili mereka membawa suara di Dewan Negeri (DUN).

Sementara itu Yun berkata, mereka berdua tidak pernah terlepas untuk menunaikan tangungjawab sebagai pemilih dan setiap kali pilihan raya diadakan mereka berdua akan pergi ke tempat mengundi secara bersama.

Ujarnya, mereka sememangnya memilih untuk keluar pagi dan begitulah kebiasaan waktu yang ideal bila mereka hendak keluar mengundi dan ia sama seperti sebelum ini.

“Pilih pagilah senang (keluar mengundi), petang nanti hujan pula.

“Sekarang ini cuaca pun tak tentu, bila waktu tengahari memang panas, tapi bila nak tunggu petang baru datang (ke pusat mengundi) nanti hujan pula,” ujarnya.

Yun sempat memberikan nasihat kepada pengundi-pengundi lain agar tidak menunggu di saat akhir untuk keluar mengundi.

Katanya, mengundi itu adalah hak semua orang dan ia merupakan satu perkara sangat penting untuk dilaksanakan.

“Kita kena pilih pemimpin, jangan buat tak tahu saja. Ini semua untuk kebaikan masa depan.

“Yang penting jangan salah pangkah. Tengok betul-betul siapa pilihan kita,” ujarnya.

Sebanyak 18 pusat mengundi dengan 74 saluran dibuka pukul 8 pagi hari ini membabitkan 39,269 pemilih berdaftar pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, calon Pakatan Harapan (PN), calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, mendiang Lee Kee Hiong 21 Mac lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast