Ihsan Gambar : Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan- MPPK

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berpegang teguh supaya Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengekalkan status quo dan berpaksikan objektif asal untuk tingkatkan taraf pendidikan bumiputera.

Timbalan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Mohamed Yusuf Hassan Roslan, pihaknya telah menerima banyak pandangan dan persoalan mahasiswa berkenaan pendirian keterbukaan kemasukan bukan-Bumiputera ke UiTM.

Menurutnya,  walaupun barisan MPPK dibarisi oleh wakil pemimpin universiti yang terdiri dari pelbagai latar belakang pengajian, namun tetap teguh pertahankan UiTM atas peruntukan 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Isu ini telah kami rujuk kepada cadangan dan pendapat individu mahupun tokoh masyarakat yang mengeluarkan pendapat sedemikian.

“Walau bagaimanapun, kami percaya hak UiTM untuk bumiputera kerana universiti ini adalah satu-satunya khazanah pendidikan yang ada untuk kami,” katanya.

Baru-baru ini UiTM menegaskan, ia kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang hanya menerima kemasukan pelajar dalam kalangan bumiputera sahaja.

Ia susulan cadangan membenarkan program latihan ijazah lanjutan kepakaran (parallel pathway) kepada bukan bumiputera.

UiTM adalah satu-satu universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotorasik (pembedahan dan jagarawatan bagi penyakit jantung dan paru-paru). – MalaysiaGazette